KUALA LUMPUR: Gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memastikan kegembiraan berganda buat kem beregu campuran apabila turut mengikut jejak langkah Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia, sebentar tadi.
Pasangan nombor lima dunia itu hanya memerlukan 36 minit untuk mengesahkan tiket ke kelompok empat terbaik apabila mengatasi gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-11, 21-18 pada aksi suku akhir di Axiata Arena Bukit Jalil.
Kemenangan menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas lawan berkenaan dalam tiga pertemuan selepas turut menang dua aksi terakhir di separuh akhir Masters Thailand pada Februari tahun lalu dan ketika aksi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
Bagaimanapun, mereka berdepan ujian getir dalam usaha melangkah ke pentas final apabila dijadual menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi separuh akhir esok.
Berdasarkan rekod pertemuan dengan Yan Zhe-Dong Ping, Tang Jie-Ee Wei hanya menang dua daripada enam pertemuan.
Terdahulu, Soon Huat-Shevon turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-15, 22-20 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Mereka akan menentang gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, esok.