Tumpuan :
Sukan

Terbuka Malaysia: Pearly-Thinaah kalah kepada gandingan baharu Indonesia

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk menyaksikan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan baharu Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti, hari ini.

Pearly-Thinaah bermula dengan baik apabila menang set pertama 21-19.
Namun mereka tewas di dua set berikutnya 14-21 dan 13-21 kepada Lanny Tria-Siti Fadia yang baru digandingkan Oktober tahun lalu selepas beraksi selama 63 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Memasuki set ketiga, Pearly-Thinaah mula mendahului 4-1, namun lawan mengikat kedudukan 10-10 dengan Lanny Tria-Siti Fadia terus menjarakkan kedudukan kepada tujuh mata dan akhirnya menang, 21-13.

“Saya rasa kesilapan kami adalah mengikut gaya permainan lawan di penghujung set ketiga.

“Kami tahu mereka adalah pasangan yang baru digandingkan, tapi kami tahu kemampuan mereka.

“Apabila mereka digandingkan, pukulan mereka sukar diramalkan dan itu mengganggu corak permainan kami.

“Apapun, kami mohon maaf kerana gagal menang. Terima kasih kepada peminat kerana datang menyokong kami. Kami hargai sokongan anda semua dan berharap anda akan terus bersama kami,” kata Thinaah.

Kekalahan Pearly-Thinaah itu menyaksikan mereka menjadi wakil ketujuh negara yang terkandas pada pusingan pertama.

Antara wakil negara yang sudah menamatkan perjuangan adalah Leong Jun Hao (perseorangan lelaki) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki).

Turut tersingkir, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien (beregu campuran) dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing (beregu wanita).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini