Tumpuan :
Sukan

Terbuka Malaysia: Izzuddin-Sze Fei tewas di tangan beregu Denmark

Beregu profesional lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tewas kepada beregu Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengalami permulaan kurang baik dalam kejohanan pembuka tirai musim ini selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Pasangan nombor tiga dunia itu dikejutkan dengan kekalahan di tangan gandingan ranking ke-26 dari Denmark, Daniel Lungaard-Mads Vestergaard dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-9, 21-18 dalam aksi yang berlangsung selama 52 minit.

Pada aksi di Axiata Arena Bukit Jalil itu, Izzuddin-Sze Fei bermula hambar apabila tewas 15-21 di set pertama tetapi kembali bangkit dengan aksi lebih agresif untuk mendominasi dan memenangi set kedua 21-9.

Permulaan agak perlahan ditampilkan gandingan negara itu di set ketiga apabila ketinggalan 4-9 sebelum bangkit mengejar dan berjaya menyamakan kedudukan 10-10.

Pertarungan menjadi lebih sengit selepas itu dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata tetapi beberapa kesilapan mudah dilakukan Izzzuddin-Sze Fei di hujung permainan mengakibatkan mereka terpaksa akur dengan kekalahan 18-21.

Ini adalah kekalahan pertama Izzuddin-Sze Fei di tangan gandingan Denmark itu selepas menang ketika pertemuan pertama mereka di separuh akhir Masters Abu Dhabi pada 2023.

Pasangan itu selepas ini dijangka menyertai saingan Terbuka India di New Delhi dari 14 hinga 19 Januari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini