KUALA LUMPUR: Juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen jelas masih belum berada pada tahap terbaiknya selepas ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.
Jaguh Denmark itu dilihat bergelut untuk menemui rentak permainan sebenarnya yang mengakibatkan dia dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu secara straight set 17-21, 13-21 dalam tempoh 38 minit di Axiata Arena Bukit Jalil.
Pemain nombor empat dunia itu mengakui dirinya masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan pada kaki kirinya sebelum ini.
“Saya fikir keadaan fizikal saya masih belum cukup kuat sekarang ini dan itu yang saya perlu tingkatkan.
“Selepas pulang bercuti, saya sudah kembali berlatih. Namun, malangnya saya mendapat kecederaan semula ketika latihan.
“Jadi, tidak banyak yang saya boleh perkatakan buat masa sekarang,” kata Axelsen pernah dua kali berturut-turut muncul juara Terbuka Malaysia iaitu pada 2022 dan 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.