Tumpuan :
Sukan

Terbuka Malaysia: Aksi tertangguh tidak akan dilanjutkan sehingga lewat tengah malam

Perlawanan di gelanggang dua dan tiga tergendala akibat kebocoran atap di Axiata Arena Bukit Jalil.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak merancang untuk melanjutkan perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia yang tertangguh berikutan kebocoran bumbung di Axiata Arena sehingga melebihi jam 1 pagi esok.

Pengarah Acara dan Operasi Kejohanan BWF, S Selvaamresh memaklumkan pihaknya ketika ini sedang meneliti bila perlawanan yang tertangguh boleh dimulakan semula dengan secepat mungkin.

Selvaamresh berkata, sepanjang 18 tahun tahun bertugas di Terbuka Malaysia, ini kali pertama insiden bumbung bocor terjadi di kejohanan utama badminton Malaysia itu.

“Kami sedang menganalisa keadaan di kedua-dua gelanggang yang terkesan (gelanggang dua dan tiga),” kata Selvaamresh ketika sidang media, hari ini.

“Jika perlu, kami mungkin tutup gelanggang dua dan alihkan perlawanan ke gelanggang tiga dan satu. Jika ia berlaku, tempoh perlawanan akan bertambah panjang tetapi kami tidak merancang permainan dilanjutkan sehingga tengah malam.

“Kami akan melakukan perbincangan dengan pengadil dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan memutuskan bila masa untuk kami menamatkan perlawanan pada hari ini dan menyambungnya esok.”

Terdahulu, perlawanan di gelanggang dua tertangguh pada jam 3.56 petang diikuti gelanggang dua pada jam 4.04 petang kerana kebocoran bumbung disebabkan hujan lebat.

“Kita mempunyai lantai gelanggang tambahan tetapi masih belum memutuskan untuk menggunakannya. Ketika ini ada staf yang cuba mengeringkannya tetapi apa yang menjadi kebimbangan kami adalah lantai kayu di bawah gelanggang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini