KUALA LUMPUR: Beregu wanita profesional negara, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien tidak ‘patah hati’ meskipun tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Korea, semalam.
Di pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo, semalam, Pei Jing-Chiew Sien yang melakar gelaran naib juara di Terbuka Australia, Jun lalu tewas di tangan gandingan Taiwan, Sung Yu Hsuan-Wang Yu Qiao 15-21,11- 21.
“Jujurnya kami tak ada sasaran untuk acara ini (beregu wanita) kerana di Terbuka Australia juga satu kejutan buat kami dan ia satu keputusan yang memuaskan (Terbuka Australia). Namun hari ini (semalam) bukan hari kami.
“Kita lihat nanti kalau kami ada peluang untuk main lagi (beregu wanita) di masa akan datang,” kata Chiew Sien.
Dalam pada itu, Pei Jing berkata, mereka yang turut menyertai acara beregu campuran bersama pasangan masing-masing di Terbuka Korea tidak begitu kecewa dengan prestasi dalam acara beregu wanita.
“Mungkin sudah lama tak main beregu wanita. Saya rasa kami tidak begitu berpuas hati dengan prestasi kami. Namun tidak mengapa kerana kami cuba menikmati perlawanan dalam acara ini,” kata Pei Jing.
Di Terbuka Australia, Pei Jing-Chiew Sien tewas di tangan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 21-17, 7-21, 13-21.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.