Tumpuan :
Sukan

Terbuka India: Sze Fei-Izzuddin, Roy King-Wan Arif mara ke pusingan kedua

Beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraikan kejayaan bergelar pasangan nombor dua dunia menerusi kemaraan ke pusingan kedua Terbuka India, hari ini.

Pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 750 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu, Sze Fei-Izzuddin yang berstatus profesional menewaskan satu lagi pasangan negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, Sze Fei-Izzuddin tampak tidak bermasalah mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-16 dalam tempoh 41 minit pada perlawanan di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu.

Mereka dijadual bertemu satu lagi pasangan negara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi selepas gandingan berkenaan menewaskan wakil Jerman, Daniel Hess-Marvin Seidel 21-11, 21-8 dalam tempoh 28 minit.

Roy King ketika ditemuramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengakui keadaan cuaca di New Delhi yang mencecah paras terendah sembilan darjah selsius membuatkannya sedikit bergelut.

“Keadaan cuaca memang agak sejuk terutama pada hari pertama kami sampai di sini tetapi pada hari ini, kami sudah mula membiasakan diri,” kata Roy King yang turut mengakui keadaan bulu tangkis di sini lebih laju berbanding di Terbuka Malaysia.

“Jadi selain keadaan cuaca, kami juga perlu sesuaikan diri dengan bulu tangkis. Perancangan kami adalah untuk fokus satu demi satu perlawanan, rehat dengan baik dan jangan berfikir terlalu jauh.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini