Tumpuan :
Sukan

Terbuka India: Jun Hao balas dendam

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao kembali menampilkan watak sebagai pembunuh gergasi ketika menempah tiket ke pusingan kedua Terbuka India, hari ini.

Pemain ranking 28 dunia itu pada perlawanan pusingan pertama mencipta kejutan dengan menyingkirkan pemain ranking enam dunia dari China, Li Shi Feng dalam pertarungan tiga set, 21-18, 17-21, 21-18.

Kemenangan yang diraih dalam tempoh 78 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi itu turut menyaksikan Jun Hao berjaya membalas dendam kekalahannya kepada Shi Feng di final Masters Kumamoto Jepun, tahun lalu.

Dan lebih manis, ia adalah kemenangan pertama pemain berusia 25 tahun itu berdepan Shi Feng yang juga juara Asia selepas empat pertemuan terdahulu berakhir dengan kekalahan.

“Dia (Shi Feng) adalah lawan yang sukar, dia memiliki fizikal dan pukulan strok yang kuat, boleh dikatakan sebagai pemain serba boleh.

“Saya hanya melakukan yang terbaik dan lebih bersabar pada perlawanan ini jadi amat gembira apabila perancangan itu membuahkan hasil,” kata Jun Hao kepada BWF.

Jun Hao di pusingan kedua dijadual bertemu seorang lagi pemain China, Weng Hong Yang yang menghuni ranking 21 dunia pada kejohanan berstatus Super 750 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini