Tumpuan :
Sukan

Terbuka India: Aaron-Woi Yik, Izzuddin-Sze Fei lengkapkan 5 wakil negara ke separuh akhir esok

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir Terbuka India. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei masing-masing berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir Terbuka India.

Bekas juara dunia, Aaron-Wooi Yik mara selepas menundukkan gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-18, 21-18 pada aksi suku akhir di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi, hari ini.

Mereka akan berdepan juara Terbuka Malaysia minggu lalu dari Korea Selatan, Kim Wan Ho-Seo Seung Jae yang mengetepikan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 22-20, 23-21.

Sementara itu, Izzuddin-Sze Fei melangkah ke kelompok empat terbaik selepas membenam cabaran Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan 21-11, 21-17 dalam tempoh 33 minit.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang di antara Jin Yong-Kang Min Hyuk dari Korea Selatan atau pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Kemaraan dua beregu lelaki negara itu menyaksikan lima wakil negara akan beraksi di separuh akhir esok selepas dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah turut mengesahkan tiket ke kelompok empat terbaik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini