comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Hong Kong: Tang Jie-Ee Wei mara ke pusingan kedua

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

KUALA LUMPUR: Juara Terbuka Korea, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengetuai cabaran pemain negara mara ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong 2024 selepas menewaskan beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Jhih Yun, hari ini.

Tampil sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei seperti tidak ‘berpeluh’ apabila menang dalam perlawanan straight set 21-8, 21-18 dalam tempoh 21 minit.

Selain Tang Jie-Ee Wei, turut mara pada aksi di Hong Kong Coliseum itu beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menang 21-11, 21-14 ke atas beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won.

Turut mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing dua lagi beregu campuran, Roy King Yap-Valeree Siow yang menyingkirkan beregu tuan rumah, Deng Chi Fai-Leung Yuet Yee 21-11, 21-16 dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menewaskan pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 21-17, 21-16.

Begitupun, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang beraksi sebagai pilihan ketujuh ditunjukkan jalan pulang selepas tewas kepada beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi dalam perlawanan tiga set 21-18, 14-21, 11-21.

Turut ditunjukkan jalan keluar lebih awal pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei yang tewas kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun yang juga pilihan ketujuh 7-21, 22-24.

Sementara itu, beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tumpas di tangan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 10-21, 12-21.

Harapan beregu lelaki negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai untuk ke peringkat seterusnya juga lebur apabila tewas kepada pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 12-21, 17-21.

Dalam acara perseorangan lelaki, ketiadaan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia pada edisi kali ini tidak dimanfaatkan Cheam June Wei apabila tewas kepada pemain Perancis, Christo Popov 19-21, 10-21.

Seorang lagi wakil negara pada kejohanan itu, Justin Hoh turut pulang awal selepas tewas kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke dalam aksi tiga set 7-21, 23-21, 18-21.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini