comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Denmark: Hasrat Aaron Chia-Wooi Yik pertahan kejuaraan tidak kesampaian

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Impian beregu badminton utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Denmark musnah apabila tumpas di suku akhir di Jyske Bank Arena sebentar tadi.

Gandingan itu tewas kepada pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi 20-22, 15-21 dalam saingan yang berlangsung selama 41 minit.

Kemenangan pasangan China yang menduduki ranking ke-21 dunia itu sekali gus membolehkan mereka membalas dendam kekalahan 18-21, 18-21 kepada Aaron-Wooi Yik pada pusingan pertama Terbuka Artik, Rabu lalu.

Ia juga membolehkan pasangan China itu merapatkan rekod pertemuan yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik memenangi dua pertembungan sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking keempat dunia bermula baik apabila mendahului 17-14, 18-16, 19-18, 20-18 dan 20-19 pada set pertama.

Bagaimanapun kegagalan mengekalkan rentak dan sering melakukan kesilapan menyaksikan pasangan China itu menyamakan kedudukan 20-20 sebelum memenangi set itu dengan 22-20.

Walaupun pada awal set kedua Aaron-Wooi Yik mampu menyaingi pasangan China itu tetapi kegagalan mengekalkan rentak pada pertengahan set menyaksikan mereka ketinggalan 10-17, 11-18, 13-18 sebelum kebangkitan mereka sudah terlewat apabila lawan memastikan kemenangan 21-15.

Harapan negara kini bergantung kepada beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah untuk meneruskan perjuangan apabila turun bertarung menentang pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Menariknya, Pearly-Thinaah baru sahaja menundukkan gandingan Jepun itu pada aksi separuh akhir Terbuka Artik minggu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini