KUALA LUMPUR: Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai Terbuka China selepas mengesahkan tiket ke final, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-12 dunia itu tidak berdepan masalah menundukkan beregu tuan rumah, Cheng Xing-Zhang Chi 21-18, 21-18 pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Seawal set pertama, pasangan itu memberikan tekanan cukup tinggi kepada gandingan China menerusi serangan bertali arus namun pada satu ketika ketinggalan 15-17 sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-18.
Memasuki set kedua, perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua gandingan saling bertukar servis selain jurang mata yang tidak begitu ketara, sekali gus menerima tepukan gemuruh penonton.
Bagaimanapun, tuah nyata memihak kepada Soon Huat-Shevon apabila sekali lagi melakukan kebangkitan saat akhir menerusi kemenangan 21-18 biarpun pada awalnya ketinggalan 15-17 kepada beregu ranking ke-22 dunia itu.
Sebagai rekod, ini kali pertama Soon Huat-Shevon berjaya melangkah ke final kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 dan final ketiga mereka musim ini selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac lalu dan Masters Malaysia pada Mei.
Malaysia belum pernah mengungguli saingan Terbuka China dalam acara beregu campuran sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1986.
Soon Huat-Shevon akan bertemu pemenang perlawanan antara gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dengan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi final, esok.
Juara bagi acara beregu akan membawa pulang hadiah wang tunai lumayan AS$148,000 (kira-kira RM622,000) manakala naib juara AS$70,000 (RM294,000).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.