Tumpuan :
Sukan

Terbuka China: Peluang Zii Jia untuk kembali bangkit

Pemain profesional negara, Lee Zii Jia.

KUALA LUMPUR: Kejohanan berstatus Super 1000 BWF Terbuka China 2024 yang dijadual bermula hari ini berpeluang menjadi medan kebangkitan terbaik buat barisan pemain negara khususnya jaguh perseorangan, Lee Zii Jia.

Pemain perseorangan profesional negara, Zii Jia dijadual membuat kepulangan semula ke pentas kompetitif di Changzhou, China selepas mengharungi ‘perit’ tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun, bulan lalu.

Apa yang mengecewakan, kejohanan berstatus Super 750 BWF itu adalah penampilan pertama pemain berusia 26 tahun itu selepas mencipta sejarah meraih pingat gangsa di pentas Olimpik Paris 2024.

Susulan kekalahan itu juga, pemain kelahiran Kedah berkenaan membuat keputusan untuk menarik diri daripada dua kejohanan utama – Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Hong Kong sebelum kembali ke China.

Begitupun, laluan Zii Jia di China pastinya cukup berliku kerana berdasarkan jadual, kejohanan itu bakal menampilkan hampir kesemua pemain ranking terbaik dunia termasuk juara Terbuka Hong Kong, Viktor Axelsen selain jaguh tuan rumah, Shi Yuqi yang juga pemain nombor satu dunia.

Di atas kertas, Zii Jia yang kembali menghuni ranking ketiga dunia dijadual bertemu pemain Jepun, Koki Watanabe pada aksi pertamanya.

Sementara itu, sandaran negara di China pasti terletak di bahu pemain beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah untuk melakar kejutan susulan kejayaan yang diraih di Hong Kong.

Sekalipun tidak meletakkan harapan menggunung, tetapi berdasarkan kemampuan semasa, prestasi Pearly dan Thinaah jelas berada tahap terbaik selepas berjaya membuatkan beberapa gandingan utama dunia ‘terduduk’ dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Antara yang berjaya dijinakkan beregu wanita utama negara itu di Hong Kong termasuklah gandingan nombor dua dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dan pasangan ranking ketiga dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Selain itu, turut berpeluang ‘bangkit’ di China pastinya gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diletakkan pilihan kesembilan kejohanan.

Selepas cemerlang menjuarai Terbuka Korea Selatan, dua minggu lalu, Tang Jie-Ee Wei begitupun kandas di separuh akhir Terbuka Hong Kong kepada gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sementara itu, harapan negara dalam kategori beregu lelaki sekali lagi disandarkan kepada pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Ia berikutan ketiadaan gandingan pemenang pingat gangsa Olimpik 2024 Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak beraksi di kejohanan itu susulan kecederaan dihadapi Wooi Yik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini