comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka China: Ee Yi-Yew Sin mara separuh akhir

Ee Yi-Yew Sin mara ke separuh akhir Terbuka China, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan Malaysia memiliki dua wakil dalam kategori beregu lelaki di pentas separuh akhir Terbuka China selepas menundukkan jaguh Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, hari ini.

Pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Changzhou itu, Yew Sin-Ee Yi yang juga beregu lelaki profesional negara begitupun terpaksa bekerja keras dan memerlukan aksi tiga set sebelum menang.

Malah, beregu di ranking ke-16 dunia itu terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama 14-21 sebelum menang dua set berikutnya 21-17, 21-14 dalam tempoh 58 minit.

Mengulas kemenangan itu, Yew Sin berkata kejayaan menewaskan pasangan ranking enam dunia itu cukup penting buat mereka.

“Ini kemenangan yang penting untuk kami, terutama untuk kedudukan ranking, keyakinan, permainan dan pelbagai lagi,” kata Yew Sin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ee Yi dalam pada itu mengakui dia tidak terlalu memikirkan kemenangan namun fokus untuk memberikan yang terbaik. “Saya baru pulih daripada kecederaan,” kata Ee Yi.

“Kami sebenarnya tidak memikirkan banyak mengenai kemenangan, kami hanya lakukan apa yang kami buat ketika latihan dan apa yang penting kami berikan yang terbaik,” kata Ee Yi.

Selain Yew Sin-Ee Yi, satu lagi pasangan negara yang melangkah ke separuh akhir adalah beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini