comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Artik: Lee Zii Jia ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia di landasan tepat dalam misi mempertahankan kejuaraannya apabila mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Artik di Vantaa, Finland, hari ini.

Pemain nombor empat dunia itu menepati ramalan apabila mengetepikan cabaran Yushi Tanaka dari Jepun 21-11, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Vantaan Energia Areena.

Selepas menang mudah di set pertama, Zii Jia diberi tentangan sengit oleh Tanaka di set kedua untuk cuba mengheret perlawanan ke set penentuan tetapi Zii Jia kekal tenang menyerap tekanan untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan berdepan pemenang perlawanan antara wakil China, Lu Guang Zu dengan pemain Jepun, Koki Watanabe bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Sebagai rekod, Zii Jia menang dalam pertemuan terakhir dengan Guang Zu di Terbuka Thailand, Mei lalu tetapi tewas di tangan Watanabe dalam saingan Terbuka China, bulan lalu.

Tahun lalu, Zii Jia berjaya merangkul gelaran sulung Terbuka Artik selepas menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong di pentas final.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mencipta kejutan apabila menumbangkan pilihan keenam dari Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-19, 21-12 untuk melangkah ke suku akhir.

Pang Ron-Su Yin akan berdepan pemenang perlawanan antara rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dengan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran untuk perebutan tiket ke separuh akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini