comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Artik: Izzuddin-Sze Fei mara ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Juara Terbuka China, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama Terbuka Artik di Vantaa, Finland, hari ini.

Pada aksi di Vantaan Energia Areena itu, beregu lelaki profesional negara ‘lambat panas’ apabila tewas 11-21 di set pertama sebelum bangkit memenangi set kedua 23-21 dalam aksi yang penuh mendebarkan.

Aksi set ketiga menyaksikan Izzuddin-Sze Fei tampil dengan permainan lebih kemas untuk mengesahkan tiket ke pusingan kemenangan 21-15 dalam tempoh 61 minit.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu gandingan Jepun, Keny Mitsuhashi-Hiroki Okamura bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Pasangan itu ketika ini dilihat berada pada tahap prestasi terbaik mereka selepas muncul juara Terbuka Jepun pada Ogos dan Terbuka China, bulan lalu.

Lebih manis, mereka turut mengumpul hadiah kemenangan sebanyak RM892,000 dalam tempoh kurang sebulan menerusi empat kejohanan disertai termasuk Terbuka Korea dan Terbuka Hong Kong.

Terdahulu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua menerusi kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnado-Bagas Maulana.

Selepas tewas set pertama, Wei Chong-Kai Wun bangkit untuk melakar kemenangan 17-21, 21-18, 21-12.

Pasangan itu akan bertemu gandingan Scotland, Alexander Dunn-Adam Pringle untuk aksi pusingan kedua, esok.

Sementara itu, nasib berbeza dialami rakan sepasukan mereka, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang terpaksa pulang awal selepas tewas di tangan Lin Bing Wei-Su Ching Heng dari Taiwan, 17-21, 19-21.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini