KUALA LUMPUR: Berlatih bersama beregu nombor lima dunia, Aaron Chia dan Soh Woi Yik nyata menyemarakkan semangat pasangan profesional Teo Ee Yi dan Ong Yew Yin pada sesi latihan hari pertama skuad badminton kebangsaan menghadapi Sukan Asia Hangzhou di Akademi Badminton Malaysia, ABM di Bukit Kiara hari ini.
Bagi Ee Yi dan Yew Sin, peluang kembali menjalani latihan pusat di ABM mampu menyuntik semangat memandangkan venue tersebut bukan asing buat mereka yang sebelum ini pernah menjadi pemain di bawah naungan BAM.
“Saya rasa teruja untuk berlatih di sini sebab ini tempat saya berlatih dari remaja sampai sekarang, teruja jumpa kawan-kawan yang lain dan berlatih semula dengan pemain BAM.
“Hari ini baru hari pertama, semuanya berjalan lancar dan saya harap seminggu ini kita dapat persiapkan diri dengan lebih baik,” katanya kepada pihak media yang menyaksikan latihan mereka.
Ee Yi dan Yew Sin yang kini berada pada kedudukan ke-9 dunia, sebenarnya kerap juga menjalani latihan mingguan di ABM sejak keluar dari BAM untuk begelar profesional pada Januari 2020.
Selain Ee Yi-Yew Sin, kem latihan hari ini turut disertai beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, perseorangan wanita Goh Jin Wei dan perseorangan lelaki Cheam Jun Wei.
Mengenai peraturan pemakaian yang tidak boleh digunakan pemain profesional semasa latihan, Yew Sin berkata segala permasalahan sudah diselesaikan apabila BAM memberi baju latihan tanpa logo untuk menjalani latihan di ABM.
Dia melihat keputusan itu merupakan langkah yang baik kerana setiap atlet mempunyai kontrak bersama penaja masing-masing.