![](https://media.buletintv3.my/2023/07/tennis.jpg)
KUALA LUMPUR: Malaysia gagal keluar dari Kumpulan 2 Zon Asia Pasifik pada Kejohanan Tenis Wanita Billie Jean King Cup 2023 walaupun menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan di Pusat Tenis Nasional, di sini, hari ini.
Dalam satu lagi perlawanan klasifikasi kelima-kelapan, Mongolia mengalahkan Singapura 2-0.
Malaysia dan Mongolia masing-masing menduduki tempat keenam dan kelima berdasarkan jumlah perlawanan yang dimenangi daripada lima aksi dalam Kumpulan B.
Malaysia memenangi tujuh perlawanan dan tewas lapan manakala Mongolia memenangi 11 perlawanan dan tewas empat perlawanan.
Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sebelum ini menyasarkan pasukan negara dapat naik ke Kumpulan 1 kejohanan berprestij itu.
Dalam ‘playoff’ menentang Hong Kong, pasukan Malaysia mengutip mata pertama apabila Lim Sze Xuan menewaskan Hannah Shen Kaile 6-2, 6-2 sebelum Shihomi Leong mengesahkan kemenangan dengan keputusan 6-3, 6-3 ke atas Che Sin Yu.
Dalam pada itu, jurulatih S. Selva Rajoo tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya meskipun menamatkan kempen di kedudukan keenam dan kekal dalam Kumpulan 2.
“Menduduki tempat keenam keseluruhan adalah keputusan yang baik memandangkan ini adalah pasukan yang muda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, pasukan Pasifik Oceania dan Taiwan naik ke Kumpulan 1 selepas mengalahkan Indonesia 2-0 dan New Zealand 2-1 dalam aksi playoff kenaikan (promotion).
Untuk playoff penyingkiran, Turkmenistan dan Guam turun ke Kumpulan 3 selepas masing-masing tewas dengan keputusan sama 0-2 kepada Pakistan dan Sri Lanka.