COPENHAGEN: Manchester United mengalami kekalahan ketiga daripada empat perlawanan menyaksikan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menghuni tangga tercorot Kumpulan A.
Namun pengurus United, Erik Ten Hag berkata, nasib pasukannya akan berubah selepas tumbang 3-4 di tangan FC Copenhagen yang menyaksikan Red Devils berada di ambang penyingkiran Liga Juara-Juara.
Namun, kekalahan kesembilan dalam 17 perlawanan musim ini dikhuatiri menjejaskan kedudukan Ten Hag.
Dalam perlawanan awal pagi tadi, United mendahului 2-0 dalam tempoh setengah jam di ibu negara Denmark selepas Rasmus Hojlund meledak dua gol menentang bekas kelabnya pada minit ketiga dan m-28.
Penyerang Manchester United dari Denmark, Rasmus Hojlund (kanan) menjaringkan gol pertama pasukannya menentang FC Copenhagen pada aksi Liga Juara-Juara di Copenhagen, Denmark awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Namun kad merah buat Marcus Rashford selepas reviu VAR pada m-42 mengubah arah perlawanan.
Copenhagen menggunakan sepenuhnya 13 minit masa tambahan pada hujung babak pertama untuk menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Elyounoussi (m-45) dan penalti Diogo Goncalves (m-45+9).
Bruno Fernandes mengembalikan kelebihan United menerusi sepakan penalti (m-69) tetapi juara Denmark itu meledak dua gol dalam tujuh minit terakhir menerusi Lukas Lerager (m-83) dan pemain berusia 17 tahun, Roony Bardghji (m-87) untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara sejak tahun 2016.
Ten Hag ternyata tidak gembira dengan kedua-dua gol pertama Copenhagen dan insiden Rashford dibuang padang.
Bekas bos Ajax itu percaya jaringan Elyounoussi sepatutnya dibatalkan kerana ofsaid dan keputusan menghukum Harry Maguire memegang bola dalam kawasan penalti terlalu kejam.
“Kami bermain amat bagus hingga kad merah itu. Kad merah mengubah segala-galanya. Kemudian kami dibolosi dua gol yang sepatutnya tidak disahkan,” kata Ten Hag.
“Bukan hanya malam ini. Ketika ini, kami berada dalam satu musim yang mana kami perlu menangani banyak keputusan yang tidak menyebelahi kami.
“Itulah yang berlaku. Saya pasti ia akan berubah. Satu musim amat panjang dan pada satu masa ia akan berubah memihak kepada kami pula.”
“Saya lihat banyak positif daripada perlawanan ini tetapi akhirnya kami hilang fokus,” kata Ten Hag. “Juga, dengan 10 (pemain) kami masih mampu menguasai perlawanan.”
United masih boleh layak ke pusingan 16 terakhir kerana mereka kini hanya satu mata di belakang Galatasaray dan Copenhagen bagi perebutan menyertai Bayern Munich ke peringkat kalah mati.
Anak buah Ten Hag bertandang ke Galatasaray dalam masa tiga minggu lagi sebelum melayan kunjungan Bayern di Old Trafford pada 12 Disember depan. – AGENSI
|ARTIKEL BERKAITAN