comscore
Tumpuan :
Sukan

Tekad Wooi Yik padam badi tersingkir awal

Soh Woi Yik dan Aaron Chia mahu penampilan lebih bermakna pada penampilan kali keempat pada saingan  Jelajah Dunia  Akhir 2023 di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Dis ini – Foto: BAM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Penampilan keempat pada saingan  Jelajah Dunia  Akhir 2023 di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Dis ini,  mahu dijadikan medan untuk  menghapuskan badi terkandas di peringkat kumpulan dan seterusnya mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama.

Itu keazaman pemain beregu negara Soh Wooi Yik selepas gandingannya bersama Aaron Chia yang kini berada di ranking ketiga dunia sekadar bertahan di peringkat kumpulan pada edisi 2019, 2020 dan 2022,

Wooi Yik berkata beliau dan Aaron akan memastikan setiap perlawanan ditempuhi pada peringkat kumpulan, ibarat aksi final untuk memastikan kemaraan mereka.

Tujuh lagi pasangan yang layak pada edisi 2023 adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Mengikut format pertandingan yang menawarkan wang tunai keseluruhan US$2.5 juta itu, kesemua lapan pasangan akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Hanya dua gandingan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir dan majlis undian peringkat kumpulan dijadual berlangsung Isnin ini.

Pada perkembangan lain, Wooi Yik optimis gandingan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mampu bertahan lebih lama selepas merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023 di Lucknow, India, Ahad lepas.

Wooi Yik menyifatkan pencapaian dilakar pasangan ke-69 dunia berkenaan dalam kejohanan di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das merupakan permulaan baik bagi mereka untuk kekal bersama selepas masing-masing sering bertukar pasangan sebelum ini.

“Ini adalah peluang bagi mereka untuk membuktikannya dan diharap mereka dapat berada dalam kelompok 30 teratas dan belajar lagi. Memandangkan mereka sudah bergelar juara, saya percaya jurulatih akan lebih fokus kepada mereka.

“Mereka pasangan baharu, bukan senang untuk menang kejuaraan, saya rasa mereka ada potensi,” katanya selepas sesi latihan, di sini.

Loading...
Terkini