
KUALA LUMPUR: KL City FC bertekad untuk mara ke final Piala Malaysia 2023 bagi membalas dendam ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan kekalahan mereka di final Piala FA, Julai lalu.
Namun skuad bimbingan Nenad Bacina itu perlu melepasi halangan Terengganu FC (TFC) terlebih dahulu pada aksi separuh akhir kedua malam esok di mana mereka ketinggalan 1-2 secara agregat.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, mereka meletakkan harapan tinggi kepada skuad ‘Warga Kota’ untuk menempah tiket ke final pelbagai pertandingan kalah mati buat kali keempat berturut-turut.
“Kita mahu ke final sekali lagi untuk membalas dendam kerana kalah di Piala FA. Kita kalah 2-0 dan sebab itulah kita mahu ke final sekali lagi tahun ini.
“Kita mahu kalahkan JDT seperti yang kita lakukan pada 2021. Semuanya bergantung kepada perlawanan malam esok dan kita perlukan aksi yang terbaik daripada pasukan serta sokongan penyokong,” katanya pada sidang media di Stadium KLFA, hari ini.
Sebagai rekod, sebelum ini KLFA layak ke final Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan juga Piala FA 2023 namun hanya menjadi juara Piala Malaysia 2021.
Mengulas mengenai tunggakan gaji, Khalid mengakui pasukan itu berdepan tunggakan gaji namun ia tidak berlanjutan sehingga empat bulan seperti yang didakwa.
Jelasnya, memang ada kelewatan dari segi pembayaran gaji pemain bagi bulan September dengan tarikh akhir adalah pada 7 November ini.
“Buat masa ini gaji pada bulan September sahaja yang tertunggak dan pihak pengurusan berusaha untuk membayar sebelum tarikh akhir pada 7 November ini.
“Apa yang didakwa dengan pemain tidak menerima gaji selama empat bulan adalah tidak benar,” katanya.