comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Target’ memang empat emas, tapi aksi final bukan mudah – Rashid

Foto ihsan Sukan IPT

Oleh: Abdullah Sani

SURABAYA: Skuad badminton negara menampilkan persembahan yang membanggakan apabila empat pemain mara ke perlawanan akhir pada saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang, hari ini.

Meskipun menghampiri sasaran membawa pulang empat pingat emas, ketua jurulatih Datuk Rashid Sidek mengakui bukan sesuatu yang mudah buat pemain negara melangkah sejauh ini dan cabaran lebih getir pada aksi kemuncak esok.

Datuk Rashid Sidek.- Foto fail

“Target empat emas tapi empat final ini bukan senang nak dapat emas, satu emas pun bukan senang nak dapat sebab yang final ni semua yang masuk kebanyakan pemain berpengalaman, yang biasa pergi tournament luar,” kata Rashid ketika dihubungi Buletin TV3 di Surabaya sebentar tadi.

Tambah Rashid berbeza pemain negara, mereka tidak ramai yang mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan luar negara.

“Apa yang saya lihat standard pemain yang mengambil bahagian terutama pemain Thailand lebih tinggi daripada pemain kita,” ujar Rashid.

Pada perlawanan akhir yang dijadual pada jam sembilan pagi esok, perseorangan lelaki Hooi Shao Herng berdepan tugas getir menentang pemain Thailand, Pusri Nachakorn yang juga merupakan pilihan utama kejohanan.

Separuh akhir petang tadi Shao Herng mengalahkan rakan senegara Pusri, Arree Puritat 21-19, 16-21, 21-13.

Turut melangkah ke pentas akhir, beregu lelaki Wong Tien Ci-Liew Xin yang menewaskan pasangan Thailand Mangkornloi-Promsarin Paramet, 23-21, 21-19.

Mereka bakal membuat perhitungan dengan gandingan tuan rumah Elgiffani Muhammad Juan-Purnama Riza Dwicahya.

Beregu wanita Valeree Siow- Lee Xin Jie meneruskan kecemerlangan skuad badminton negara dengan menumbangkan pilihan kedua kejohanan, Pattaraporn Rungruengpramon-Pichampn Phatcharaphisut dari Thailand, 21-15, 21-17.

Menanti mereka di final, juga pasangan dari negara Gajah Putih itu, Atitaya Pavonan-Chasinee Korepap.

Manakala gandingan Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan turut menempah slot akhir acara beregu campuran, setelah  mengenepikan pasangan tuan rumah, Hafidz Gerardo Rizqullah-Nadia Tryola, 21-10, 21-18.

Foto ihsan Sukan IPT

Esok mereka menjangkakan tentangan lebih sengit, menggagalkan misi balas dendam satu lagi wakil ‘Garuda’ Muhammad Juan Elgiffani-Elizabeth Jovita.

“Kita sedaya upaya nak dapatkan sebanyak mungkin pingat emas, kalau boleh  keempat-empat pingat emas, kita tahu cabarannya amat sukar, tetapi pemain akan beraksi sepenuh hati esok,” kata Rashid.

Malaysia sebelum ini gagal mempertahankan pingat emas acara berpasukan wanita apabila tewas di tangan Thailand  0-3 pada Sabtu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini