KUALA LUMPUR: Tanggungjawab kini digalas semua atlet yang mengambil bahagian di Sukan Olimpik Paris untuk menyumbang pingat pada temasya yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.
Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengakui tugasan getir menanti di Paris untuk memastikan kutipan pingat negara dengan ketiadaan sandaran utama khususnya dari sukan terjun.
Menurut Hamidin, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), telah mengadakan perbincangan lanjut susulan kegagalan acara-acara tumpuan melayakkan diri ke sukan Olimpik kali ini.
Situasi tersebut mendorong kontinjen negara menggilap dan mengerah semua yang bertanding nanti melakar kejayaan di carta kedudukan pingat.
“Bagi kami sesiapa sahaja atlet yang layak harus diberi penekanan memenangi pingat, itu yang penting.
“Kami sememangnya mahu mendapatkan kilauan emas yang pertama, dalam masa sama kita juga perlu meraih sebanyak pingat yang boleh,” kata Hamidin
Beliau dan timbalannya Datuk Nicol David pagi tadi mengadakan sesi lawatan persiapan dua atlet Olimpik negara, penerjun Bertrand Rhodict Lises dan Johnathan Wong dari sukan menembak di Bukit Jalil.
Hamidin optimis, angka lima atlet yang telah melayakkan diri ke Paris akan bertambah.
Ini kerana proses kelayakan beberapa sukan antaranya badminton, basikal, menembak dan angkat berat masih berlangsung.jadual diketahui seawal april ini.
Hamidin turut mengulas kegagalan atlet terjun Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menempah slot ke Paris dan baginya itu bukanlah penamat kepada kedua-dua atlet elit itu.
“Dhabitah dan Pandelela memberitahu, mereka mahu membuat persiapan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. ia bagus kerana mereka mempunyai mentaliti yang kuat untuk ke sana dan juga terbuka kepada sesiapa sahaja, mereka sebagai atlet senior sudah mengetahui selok belok apa yang perlu dilakukan dan saya fikir mereka boleh mencubanya dalam empat tahun lagi.” kata Hamidin
Pada Temasya Olimpik di Tokyo 2020, kontinjen negara diwakili 30 atlet dan Malaysia hanya mampu membawa pulang satu perak dan satu gangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.