Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
HANNGZHOU: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan musim memberangsangkan mereka apabila melayakkan diri lebih awal ke fasa separuh akhir pada Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
Beregu di ranking kelapan dunia itu menewaskan wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja, hari ini sekali gus membolehkan mereka melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas mencatat kejayaan ke atas satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam aksi Kumpulan B semalam.
Catatan 21-17, 21-18 dalam tempoh 50 minit di Gimnasium Olimpik Hangzhou memastikan mereka berada di kedudukan dua teratas kumpulan, berbaki satu lagi pertembungan menentang Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun.
Gandingan profesional, Soon Huat-Shevon juga bangkit dengan merakam kemenangan ke atas Midorikawa-Saito dengan keputusan straight sets 21-14, 21-14 sekali gus membuka semula peluang ke separuh akhir menjelang perhitungan penentuan dengan Ferdinansyah-Widjaja, esok.
Kempen beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah di Hangzhou pula bakal berakhir lebih awal selepas mengalami kekalahan kedua dalam kumpulan A.
Pasangan di ranking keenam dunia itu dikecewakan gandingan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 19-21, 19-21 sekali gus tidak mampu lagi menempatkan diri di kelompok dua teratas menuju aksi terakhir melawan wakil tuan rumah, Liu Shengshu-Tan Ning, esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.