PETALING JAYA: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghidupkan kembali peluang ke separuh akhir pada saingan Jelajah Akhir BWF selepas mengejutkan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino di Hangzhou, sebentar tadi.
Tewas 12-21 pada set pertama, tumpuan Tang Jie-Ee Wei nyata tidak terjejas apabila bangkit melawan sebelum memenangi set kedua 21-16.
Set penentuan jelas memperlihatkan kematangan Tang Jie – Ee Wei yang mendudukki ranking ke-8 dunia itu apabila menampilkan kawalan gelanggang lebih kemas membalas setiap asakan lawan.
Selepas berlarutan 1 jam 1 dan 1 minit, Tang Jie – Ee Wei memastikan kemenangan milik mereka apabila menamatkan set penentuan 21-16,
Perlawanan terakhir Kumpulan A esok, Tang Jie – Ee Wei akan berdepan satu lagi tugasan sukar menentang gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh – Sapsiree Taerattanachai yang berada di ranking ke-6 dunia.
Dechapol – Sapsiree pada perlawanan pertama semalam tewas kepada Yuta-Arisa 16-21, 14-21 manakala Tang Jie – Ee Wei kalah kepada beregu tuan rumah Feng Yang Zhe- Huang Dong Ping 10-21, 13-21.
Yang Zhe – Dong Ping berdepan Dechapol -Sapsiree pada perlawanan kedua malam ini.