Tumpuan :
Sukan

Tang Jie-Ee Wei benam juara Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah tiket ke suku akhir Terbuka India selepas menyingkirkan gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, hari ini.

Pasangan nombor tiga dunia itu tewas set pertama 19-21 sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-12, 22-20 pada aksi pusingan kedua di Kompleks Sukan Indira Gandhi di New Delhi.

Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun nyaris terlepas tiket ke kelompok lapan terbaik apabila lawan yang baharu ditabalkan juara Terbuka Malaysia, Ahad lalu itu berjaya meraih tiga mata berturut-turut untuk menyamakan kedudukan 20-20 di set ketiga.

Namun, pasangan negara itu berjaya menyerap tekanan sebelum menyudahkan aksi dengan kemenangan 22-20.

Ee Wei mengakui mereka perlu memperbaiki tahap konsistensi mereka di dalam gelanggang terutama ketika mendahului permainan pada situasi mata penting.

“Saya fikir ini adalah antara kelemahan yang masih ada (dalam permainan) dan perlu memperbaikinya kerana kami sentiasa belajar daripada setiap perlawanan.
“Kami hanya perlu tenang dan bermain seperti biasa.

“Kami juga perlu meningkatkan konsistensi dalam gelanggang selain berkomunikasi sesama sendiri dan jurulatih. Kami juga percaya antara satu sama lain, sebab itu dapat bangkit,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir esok adalah satu lagi pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat yang menewaskan beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-17, 20-22, 21-17.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini