Tumpuan :
Sukan

Tang Jie akui bukan mudah lawan rakan senegara

Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui bukan mudah apabila berdepan dengan rakan senegara.

Pasangan nombor lapan dunia itu menegaskan yang mereka perlu sentiasa menerapkan tahap profesionalisme yang tinggi setiap kali berdepan situasi berkenaan.

Itu yang dilakukan mereka ketika merakam kemenangan ke atas pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pada aksi sulung Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pilihan kedua kejohanan itu 14-21, 21-10, 21-14 dalam tempoh 50 minit pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Olimpik Hangzhou.

“Kami bukan pasangan yang sebelum perlawanan kami boleh senyum dengan lawan dan serius di gelanggang.

“Kami sangat ‘straight forward’, jika kami sudah tahu kami akan bertemu dengan lawan itu, kami akan bersikap profesional. Namun, selepas perlawanan kami menjadi kawan semula,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Jelas Tang Jie, strategi permainan yang lebih tersusun di set kedua dan ketiga dengan fokus untuk melemahkan lawan dan mengekang pergerakan mereka di dalam gelanggang turut menyumbang kepada kemenangan dalam perlawanan itu.

“Kami fikir bagaimana kami boleh membuatkan lawan kami mengalami kesukaran. Saya fikir strategi dan momentum kami di set kedua dan ketiga yang membuatkan mereka agak bergelut.

“Saya juga sentiasa percaya dengan pasangan saya Ee Wei, jika saya bermain tidak berapa bagus, pasangan saya akan jaga saya. Kami saling mempercayai antara satu sama lain,” katanya.

Kemenangan dalam aksi sulung itu meletakkan Tang Jie-Ee Wei di landasan terbaik dalam misi memburu tiket ke peringkat separuh akhir.

Hanya dua pasangan teratas kumpulan yang dibarisi empat pasangan itu layak ke separuh akhir.

Tang Jie-Ee Wei dijadual menentang gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja manakala Soon Huat-Shevon akan bertemu Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun untuk aksi kedua kumpulan, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini