Tumpuan :
Sukan

Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing teruskan kecemerlangan beregu campuran ke separuh akhir

Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing iringi Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mara ke separuh akhir Badminton Terbuka China. – FOTO: BAM/ Facebook

CHANGZHOU, CHINA: Gandingan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing mengiringi pasangan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mara ke separuh akhir untuk meneruskan kecemerlangan  wakil beregu campuran negara pada aksi Badminton Terbuka China.

Lebih manis, pada aksi suku akhir tengah hari tadi, Kian Meng dan Pei Jing yang tidak diletakkan pilihan, mengejutkan beregu handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, juga pilihan ke-4 kejohanan.

Kemenangan 21-18 pada set pertama, nyata menyemarakkan semangat Kian Meng dan Pei Jing yang menjangkakan kebangkitan lawan.

Seperti dijangka Dechapol dan Sapsiree melakukan segalanya pada set kedua, namun Kian Meng dan Pei Jing bijak menyerap tekanan lawan.

Pertarungan yang berlarutan 41 minit itu berakhir dengan kemenangan 21-19 Kian Meng dan Pei Jing pada set kedua.

Apa yang pasti halangan lebih getir menanti beregu negara yang bakal menentang pasangan Korea, juga pilihan ke-5 kejohanan, Seo Seung Jae dan Chae Yu Jung.

Seung Jae dan Yu Jung pada satu lagi suku akhir, mengejutkan beregu tuan rumah, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong yang tampil  dengan status  pilihan pertama kejohanan.

Tewas 17-21 pada set pertama, pasangan Korea itu menampilkan aksi lebih hebat memenangi dua set berikutnya 21-13 dan 21-17 pada perlawanan yang memakan masa 1 jam 2 minit.

Terdahulu, satu lagi gandingan campuran negara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mara ke separuh akhir mengalahkan beregu Taiwan.

Tugas sukar turut menanti Tang Jie dan Ee Wei dalam memburu tiket final apabila berdepan beregu Belanda, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Selaku pilihan ke-8, Gicquel dan Delrue mencipta kejutan menewaskan pilihan ke-4 dari Jepun, Yuta Watanabe Arisa Higashino 22-20, 21-14.

Loading...
Terkini