Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
HANGZHOU: Bukan satu, tetapi dua wakil negara menempah tempat di aksi penentuan juara Akhir Jelajah Dunia BWF esok.
Harapan bukan sahaja disandarkan kepada beregu campuran Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei yang berjaya meneruskan kemaraan, tetapi jua dijejaki oleh Goh Sze Fei/ Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Gandingan profesional itu menumbangkan Fajar Alfian/ Mohd Rian Ardianto dari Indonesia dalam pertembungan sengit yang diheret sehingga sejam 21 minit untuk bertemu Kim Astrup/ Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark esok.
Lebih manis, kedua-duanya bangkit dari kekalahan 17-21 sebelum mencatat kejayaan 21-16 serta keputusan dramatik 27-25 di set penentuan.
Pencapaian tersebut membolehkan Sze Fei/ Izzuddin menempah perlawanan akhir ke empat tahun ini dengan diiringi rekod bersih memenangi semua tiga perlawanan akhir di Finland, Jepun dan China sejak Ogos.
Pemain kebangsaan, Tang Jie/ Ee Wei pula dijadual berdepan aksi sengit ranking ketiga dunia dari tuan rumah Zheng Si Wei/ Huang Ya Qiong di Hangzhou Olympic Sports Centre Gymnasium, Hangzhou bermula jam 2 petang.