Oleh: Abdullah Sani
PETALING JAYA: Gambaran kesebelasan utama yang bakal dibariskan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada aksi pembukaan menentang Jordan 16 Januari ini akan lebih jelas pada aksi pemanas badan menentang Syria malam esok.
Lebih daripada itu, inilah peluang buat pemain membuktikan kemampuan untuk menambat hari Pan Gon seterusnya dipilih mengisi kesebelasan utama.
Ketika ini semangat pemain begitu tinggi untuk memastikan kemampuan Malaysia mencabar pasukan-pasukan terbaik Asia, sebagaimana yang dikongsi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sewaktu dihubungi BuletinTV3 sebentar tadi.
“Perlawanan pemanas badan esok memang penting, ia memberi gambaran lebih jelas buat jurulatih menilai kemampuan individu dan seterusnya memberi gambaran pemain manakah yang layak untuk berada dalam kesebelasan utama,” kata Hamidin.
Beliau yang sudah seminggu bersama skuad kebangsaan juga dapat merasakan semangat pemain dan barisan kejurulatihan yang membuak-buak untuk memulakan kempen Piala Asia selepas 42 tahun gagal berbuat demikian.
Bersaing dalam Kumpulan E, selepas berdepan Jordan, Harimau Malaya akan menentang Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan menjadi lawan terakhir pada 25 Januari.
“Kita juga bertuah, sejak tiba di Doha seminggu yang lalu, latihan berjalan lancar, merangkumi aspek teknikal, perubatan dan paling penting kualiti padang latihan yang begitu baik, fasaliti inilah yang digunakan Qatar ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, memang sesuatu yang begitu memuaskan buat semua pasukan,” ujar Hamidin.
Perlawanan pemanas badan menentang Qatar esok dijadual jam 8.30 malam waktu Qatar, iaitu jam 1.30 pagi waktu Malaysia.
Kali terakhir Malaysia menentang Syria, pada aksi persahabatan di China tahun lalu menyaksikan skuad negara bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat perlawanan 2-2.
Berkongsi lagi situasi latihan Harimau Malaya di Doha, Hamidin juga lega kecederaan dua pemain, Corbin Ong dan Natxo Insa semakin pulih dan kembali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan.
Untuk rekod kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama Indonesia dan Thailand.
Layak secara merit kali ini, cabarannya kali ini memang sukar, terpaksa berdepan lawan yang lebih tinggi rankingnya seawal saingan kumpulan, Korea Selatan (23), Bahrain (86) dan Jordan (87)
Namun bak kata Hamidin, dalam bola sepak semuanya tidak mustahil.
“Kita harap pemain akan menampilkan persembahan maksimum pada saingan sebenar nanti,” ujar Hamidin