PETALING JAYA: Kemelut surat layang yang mendakwa berlakunya beberapa salah laku tadbir dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mula menjalankan siasatan.
Ia telah dimulakan sejak dua hari lalu dan beberapa fail juga telah diambil daripada ibu pejabat FAM di Kelana Jaya.
Menerusi kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, pihaknya memulakan siasatan hasil daripada aduan awam.
”Berdasarkan kepada aduan awam, SPRM telah menjalankan siasatan sejak dua hari lalu. Kami juga telah mengambil beberapa fail daripada FAM sebagai sebahagian daripada siasatan.Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, dan SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut. SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah,” ujarnya.
Setakat ini SPRM tidak mendedahkan sebarang butiran meskipun mengesahkan beberapa fail yang berkaitan dengan dakwaan telah diambil untuk diteliti.
Azam juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang siasatan yang adil dan profesional dijalankan ketika ini.
Beberapa hari lalu, tular surat layang yang dihantar melalui e-mel kepada media mengenai salah guna kuasa dalam pengurusan FAM.
Ia mendedahkan masalah dalaman yang dihadapi kakitangan, selain turut mengaitkan kepincangan skuad Harimau Malaya serta salah laku pengurusan dalam agihan projek NTC.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun menafikan semua dakwaan terbabit dan menegaskan ianya sengaja diadakan untuk menjejaskan reputasi individu tertentu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.