Tumpuan :
Sukan

Suphanat kecewakan JDT


ISKANDAR PUTERI: Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melakar sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit tidak kesampaian apabila tunduk 0-1 kepada Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Selepas seri tanpa jaringan pada pusingan 16 terakhir di Thailand minggu lalu, skuad Thunder Castle tidak mengendahkan sorakan padu penyokong Harimau Selatan sekali gus menyaksikan kekalahan pertama skuad kendalian Hector Bidoglio dalam pertandingan kelab Asia di halaman sendiri.

Gol tunggal kemenangan Buriram hadir pada minit ke-58 menerusi pemain kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta.

Ia bermakna Buriram mara ke peringkat suku akhir di Arab Saudi 1-0 secara agregat.

Suphanat yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre selepas pemain pertahanan JDT, Eddy Israfilov gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ketika cuba menghalang Peter Zulj.

Beraksi di hadapan 35,000 penyokong sendiri, anak buah Bidoglio bermula garang dengan bertindak awal mengancam kubu skuad kendalian Osmar Loss Vieira yang perlu bertungkus-lumus menyerap asakan berbahaya JDT.

Tuan rumah nyaris menjelmakan jaringan seawal minit pertama namun gol yang dicipta Bergson da Silva selepas menyambar bola tampanan penjaga gol, Neil Etheridge dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid.

Peluang terbaik Harimau Selatan merungkai jaringan hadir pada minit ke-27 selepas asakan bertali arus menyaksikan Afiq Fazail yang berada di posisi terbaik merembat bola leret namun tiang gol sebelah kanan menjadi penghalang ketika Etheridge sudah tertewas.

Walaupun Buriram United sering diasak oleh anak didik Bidoglio namun mereka bijak mematahkan apa jua serangan yang dilakukan oleh barisan pemain JDT dan berjaya memastikan kedudukan seri tanpa jaringan kekal sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, giliran Buriram United mengasak ke kubu JDT malah mengundang cemas buat benteng tuan rumah pada minit ke-53 selepas Goran Causic merembat bola kencang namun hanya melewati palang gol.

Pada minit ke-84, peluang untuk menyamakan jaringan dipersia-siakan pemain gantian, Heberty Fernandes yang melakukan sepakan percuma dari jarak 25 meter sekadar terkena benteng pelawat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
 
Loading...
Terkini