Tumpuan :
Sukan

SUKMA Ke-21: Sarawak mohon kekalkan acara Sepak Takraw Wanita Berpasukan

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Tuan Rumah Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21, Sarawak akan membuat rayuan agar acara Sepak Takraw Wanita Berpasukan disenaraikan semula untuk dipertandingkan pada temasya itu Ogos depan pada mesyuarat Jawatankuasa SUKMA Kebangsaan, 18 Julai ini.

Acara terbabit digugurkan sebelum ini selepas jumlah pasukan yang menyertainya kurang daripada jumlah minimum enam pasukan ditetapkan untuk setiap acara dipertandingkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehingga tarikh tutup penyenaraian acara 5 Julai lalu sebanyak lima pasukan mendaftar untuk bertanding bagi acara berkenaan.

“Kalau kita lihat, lima negeri ini saya difahamkan atlet-atletnya yang daripada semenanjung tiket pun sudah  ditempah dan dibeli dan persiapan dan persediaan atlet sudah dibuat.

“Keadaan ini pastinya akan mengecewakan atlet itu sendiri kerana mereka telahpun menjalani latihan sejak sekian lama namun terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding disebabkan acara tersebut digugurkan susulan tidak cukup penyertaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA KE-21 Sarawak 2024 di sini.

Justeru tegas Abdul karim, adalah tidak adil untuk acara itu digugurkan hanya disebabkan jumlah penyertaan bagi acara terbabit kurang satu pasukan daripada jumlah pasukan ditetapkan untuk membolehkan acara berkenaan tidak digugurkan.

Namum begitu beliau tetap optimis peluang untuk acara sepak takraw berpasukan wanita untuk disenaraikan semula tetap ada menjadikan kesemua 488 acara sukan yang dicadang untuk dipertandingkan pada temasya terbabit dapat direalisasikan sekaligus menjadikan penganjuran SUKMA ke-21 terbesar pernah dianjurkan.

Bagaimanapun beliau akan tetap akur dengan sebarang keputusan diambil oleh Jawatankuasa SUKMA Kebangsaan sama ada untuk mengekalkan atau menggugurkan acara terbabit daripada dipertandingkan pada temasya terbabit.

Ketika ini lima negeri yang sudah mengesahkan penyertaan dalam acara Sepak Takraw Wanita Berpasukan dalam Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Sabah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini