comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKMA 2024: Skuad badminton Negeri Sembilan waspada saingan sengit buru pingat 

Justin Hoh pemain muda kebangsaan yang menyemarakkan saingan badminton SUKMA 2024 di Sarawak.-Foto: BAM

SEREMBAN: Presiden Persatuan Badminton Negeri Sembilan Datuk Ng Chin Chai berkata saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024  kali ini lebih sengit memandangkan kebanyakan pemain muda yang mewakili negeri masing-masing merupakan pemain negara bagi Piala Thomas dan Piala Uber serta Sukan SEA.

Justeru Negeri Sembilan yang turut diperkuatkan tujuh pemain pelapis kebangsaan, berharap kehadiran mereka mampu membantu menggapai misi meraih pingat SUKMA  2024 yang bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Tujuh pemain pelapis tersebut ialah Ung Yi Xing, Heng Zi Hin, Ayu Fu Sheng, Goh Shu Xuan, Hazrilz Haiqal Zaizul Fazli, Lai Ting Cen dan Vaneesa Ng.

Ng berkata lapan pemain lelaki dan lapan wanita berusia antara 16 tahun hingga 19 tahun yang mewakili negeri ini berpotensi meraih dua pingat dalam acara perseorangan wanita, beregu wanita dan berpasukan campuran.

“Tahap SUKMA kali ini tinggi sebab pemain Piala Thomas dan Uber, Sukan SEA akan beraksi mewakili negeri masing-masing.

Sebagai contoh pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh (Wilayah Persekutuan) menang pada dua kejohanan antarabangsa di Eropah dua minggu lepas, bagaimanapun peluang atlet negeri meraih pingat masih cerah,” katanya.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita, Ung, 17, bertekad menyumbang pingat buat kontinjen Negeri Sembilan pada penampilan keduanya di temasya dwitahunan itu meskipun bakal berdepan cabaran daripada rakan sepelatihnya dalam skuad kebangsaan.

Ung yang berasal dari Port Dickson berkata persediaan menggalas cabaran SUKMA kali ini lebih baik setelah beraksi pada Sukan Universiti ASEAN awal bulan ini walaupun tewas bagi penentuan pingat gangsa.

“Saya jangka saingan sengit daripada Siti Nurshuhaini Azman (Selangor) iaitu penyandang pingat emas SUKMA dan seorang lagi dari Wilayah Persekutuan.

“Persediaan kali ini lebih baik berbanding dua tahun lepas dan saya juga menyertai beberapa kejohanan antarabangsa yang dapat meningkatkan keyakinan untuk bersaing,” katanya.

Sementara itu, Heng, 17, turut berazam menampilkan prestasi terbaiknya untuk beraksi pada SUKMA sulungnya bersama rakan seperjuangan Joshua dalam acara beregu lelaki.

Berasal dari Seremban, Heng tidak mahu meletakkan sasaran pingat terlalu awal sebaliknya fokus kepada meningkatkan kekuatan fizikal dan strategi untuk melepasi setiap peringkat perlawanan.

“Sebagai persediaan, saya menyertai beberapa kejohanan peringkat nasional dan pengalaman itu akan dimanfaatkan untuk beraksi lebih baik,” katanya.

Acara badminton SUKMA 2024 dijadual berlangsung di Dewan Tertutup, Sibu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini