Tumpuan :
Sukan

SUKMA 2024: Penerjun cilik Sarawak kejutkan juara Sukan SEA

Nurul Farisya Alia Affendi meraih emas acara 10m platform. – FOTO: SUKMA Sarawak 2024/Facebook

KUCHING: Atlet muda Sarawak, Nurul Farisya Alia Affendi mengejutkan juara Sukan SEA yang juga rakan sepasukan lebih berpengalaman apabila menyambar pingat emas acara 10m platform wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, hari ini.

Penerjun berusia 15 tahun yang baharu menyertai program pelapis kebangsaan awal tahun ini mengumpul 241.90 mata untuk memenangi emas keduanya di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini.

Isnin lalu, anak jati Kuching itu merangkul pingat emas acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023, Lee Yiat Qing yang mewakili Wilayah Persekutuan terpaksa berpuas hati dengan perak selepas terjunan ketiganya merosot menjadikan mata terkumpul 241.10 mata, manakala Nur Nur Eilisha Rania gangsa dengan 231.45 mata.

Nurul Farisya Alia ketika ditemui pemberita mengakui yang beliau tidak menjangkakan kemenangan semalam kerana turut berdepan saingan penerjun lebih berpengalaman.

“Saya rasa terjunan semua tak berapa bagus berbanding pencabar lain, tetapi mungkin terjunan keempat itu meletakkan saya di kedudukan pertama. Sasaran saya adalah emas dalam 10m platform seirama dengan Rania dan platform seirama campuran bersama Muhammad Lutfir Rahman Mohammad Razak.

“Saya juga mendapat sokongan daripada keluarga yang hadir ke sini. Mereka juga berikan ucapan semoga berjaya sebelum pertandingan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini