Tumpuan :
Sukan

SUKMA 2024; Misi serampang dua mata Sarawak

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja mahu mencipta penanda aras sebagai penganjur terbaik Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak juga bertekad memburu gelaran juara keseluruhan sekali gus menamatkan penantian 30 tahun.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengakui tidak sabar untuk melihat Sarawak menjulang kejayaan itu selepas tidak berjaya melakukannya ketika menjadi tuan rumah pada 2016.

Sarawak, ketika menjadi tuan rumah,  pernah muncul juara keseluruhan pada edisi 1990 dengan 44 emas, 17 perak dan 18 gangsa manakala pada temasya 2016, muncul naib juara dengan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa, ketinggalan dua pingat emas di belakang juara, Selangor.

Berdasarkan persiapan atlet dan venue yang berjalan mengikut perancangan, Abdul Karim yakin Sarawak mempunyai peluang cerah mencapai misi juara sekali gus dapat menyemarakkan lagi semangat cinta terhadap sukan dalam masyarakat di negeri itu.

“Peluang tahun ini cukup cerah dari segi persiapan, kelengkapan dan sebagainya. Banyak atlet Sarawak pada masa ini berada di luar negara, ada yang enam bulan tak balik rumah, ada di Thailand dan Indonesia. Itu tahap persiapan kita kerana kita mahu jadi juara keseluruhan.

“Harapan kita dengan juara keseluruhan dapat mengangkat lagi semangat dan minat terhadap sukan bukan sahaja di Sarawak tapi juga untuk menjadi atlet negara. Saya pun berharap satu hari nanti Malaysia dapat mencapai emas dalam Olimpik,”

“Bukan sahaja untuk menjadi juara, kita mahu memastikan penganjuran yang terbaik dari segi perasmian, persembahan dan sebagainya. Semua sedang berlatih ataupun giat untuk memastikan hari perasmian itu cantik,” katanya.

Mengenai persaingan tuan rumah di temasya yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos itu, Abdul Karim berkata Sarawak bakal berdepan tentangan hebat daripada Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Sabah yang mempunyai kekuatan dalam pelbagai sukan.

Sementara itu, dalam usaha menyemarakkan lagi semangat kesukanan temasya dwitahunan kebangsaan itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak memaklumkan pihaknya akan menyediakan pasukan sorak khas bagi setiap negeri bertanding.

Beliau berkata inisiatif pasukan sorak yang terdiri daripada pelajar sekolah di Sarawak itu selepas mengambil kira faktor logistik selain ingin mengekalkan kemeriahan semasa temasya itu berlangsung.

“Semangat itu untuk menggalakkan rakyat Sarawak pergi, memberi sokongan padu kepada pasukan kita sendiri dan juga kepada mana-mana pasukan.

“Selain daripada rakyat Sarawak, kita ada pasukan sorak yang diambil daripada sekolah-sekolah untuk menyokong Selangor, Pulau Pinang…mereka akan pakai baju Pulau Pinang. Sekurang-kurangnya atlet itu akan rasa bahawa penyokong ada.

“Kita tahu rakyat dari Semenanjung datang kosnya agak tinggi, kemungkinan paling kuat pun ibu bapa saja yang datang. Tapi yang lain itu sekolah sini dapat memberi sokongan di tepi gelanggang,” katanya.

Pada edisi kali ini, Sarawak menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam misi memburu gelaran juara kali keempat selepas mencipta hatrik pada edisi 1990, 1992 dan 1994.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

— BERNAMA –

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini