KUCHING: Mereka hanya sempat mendalami ilmu seni mempertahankan diri tradisional masyarakat India itu dalam masa tujuh bulan sebelum Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) sekali gus ramai yang tidak meletakkan harapan untuk mereka meraih pingat.
Apatah lagi mereka akan bersaing dengan atlet negeri lain yang semuanya berketurunan India yang sememang sudah lama terdedah dengan seni silambam.
Namun jangkaan itu ternyata meleset apabila Asyraff Aqil Mohd Zainurin Azman, 15, dan Hani Qurratu’Ain Samsudin,19, masing-masing berjaya menghadiahkan pingat perak bagi Sarawak manakala Nur Aleesya Zahierah Sali,15, pula meraih pingat gangsa.
Malah difahamkan, mereka yang bersaing dalam acara poruthal individu adalah atlet bukan India pertama meraih pingat dalam acara silambam pada temasya Sukan Malaysia.
Asyraff Aqil berkata, sebelum ini beliau aktif di gelanggang muaythai selain belajar silat manakala silambam hanya ‘dikenalinya’ dalam tempoh tujuh bulan lalu.
“Saya memang berhasrat mewakili Sarawak dalam sukan tempur terutamanya muaythai atau silat.
“Ketika pasukan silambam Sarawak mencari bakat di sekolah awal tahun ini, saya memberanikan diri untuk mencuba walaupun langsung tidak mengetahui selok belok sukan itu,” kata pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph, Kuching itu.
Hani Qurratu’Ain pula berkata, beliau menyertai sukan silambam tanpa sengaja kerana lebih banyak menumpukan perhatian kepada sukan silat.
“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir menyertai sukan ini tetapi ada kawan mengajak saya mencuba selepas pasukan silambam Sarawak mencari atlet untuk bertanding dalam kategori 70 kilogram.
“Ternyata cubaan itu berbaloi dan saya menetapkan sasaran untuk terus mewakili Sarawak dalam acara ini pada Sukma akan datang,” katanya.
Seperti dua rakannya, Nur Aleesya juga bermula dengan silat dan tertarik menyertai silambam selepas jurulatih pasukan Sarawak datang ke sekolahnya untuk mencari bakat baru.
“Selepas berjaya meraih gangsa, saya kini semakin yakin dapat mengembangkan lagi bakat dalam sukan ini dan mensasarkan pingat emas pula pada SUKMA akan datang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.