Oleh Al Shaiful Nazib Talib
SAARBRUCKEN:Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka HYLO berakhir selepas kesemua empat wakil negara terkandas di pusingan kedua.
Paling awal tersingkir, pemain perseorangan Liew Daren, tewas kepada pemain muda China, Li Shi Feng.
Tewas 14-21 pada set pertama, Daren cuba untuk memberikan saingan pada set kedua, namun terpaksa akur dengan kekalahan selepas tunduk 18-21, menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 37 minit.
Jejak langkah sama turut dialami pasangan beregu lelaki, Tan Kian Meng dan Tan Wee Kiong.
Berdepan gandingan China, Liang Wei Chen dan Wang Chang yang juga merupakan pasangan beregu pilihan keenam, Kian Meng dan Wee Kiong tewas dengan keputusan 14-21, 18-21.
Gandingan campuran Goh Soon Huat dan Shevon Lai menjadi pertaruhan terbaik Malaysia untuk ke suku akhir selepas diletakkan sebagai pilihan keenam.
Bermula baik ketika berdepan Gregory Mairs dan Jenny Moore dari England menerusi kemenangan 21-17, kebangkitan mula dipamerkan lawan menerusi keputusan 21-10 pada set kedua.
Set penentuan, usaha keras yang dilakukan Soon Huat dan Shevon nyata belum mencukupi, mereka tewas dengan kekalahan 17-21 sekaligus tersingkir dari persaingan.
Mengakhiri cabaran Malaysia di Saarbrucken, gandingan wanita, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien.
Mereka tewas kepada pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard dengan kekalahan dua set, 8-21, 14-21.