BUKIT JALIL: Pasukan hoki negara sudah bersiap sedia menggalas misi memenangi pingat emas yang kembali dipertandingkan di Sukan SEA ke-32 kali ini.
Barisan pemain lelaki mempertaruhkan skuad remaja sebagai persiapan ke Piala Dunia dengan menyertai Siri Jelajah Perth, Australia.
Hanya empat khidmat pemain senior ditagih jurulatih Muhammad Amin Rahim iaitu Mohd Zaimi Mat Deris (penjaga gol), Muhammad Amirul Hamizan Azahar (pertahanan), Muhammad Najib Abu Hassan (tengah) dan Muhamad Ramadan Rosli untuk membimbing pasukan hingga ke perlawanan kemuncak.
“Harapan dan sasaran yang diletakkan oleh pasukan tentunya untuk menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Malaysia. Namun untuk pasukan, kami datang ke Sukan SEA dengan strategi “serampang dua mata” di mana kami juga akan menggunakan temasya ini sebagai salah satu persiapan untuk pasukan menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia (Lelaki) di Salalah, Oman yang akan bermula 23 Mei nanti,” jelas Muhammad Amin.
Anak buahnya dijadual membuka tirai saingan menentang tuan rumah Kemboja 10 Mei ini.
Skuad wanita juga sama memulakan kempen pada hari serupa dengan berdepan Kemboja.
Barisan bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membariskan lebih ramai pemain berpengalaman di pentas antarabangsa.
Turut diberi peluang ialah pemain berusia 19 tahun Azmyra Mia Sofea Azhairy.
“Untuk Temasya Sukan SEA 2023, hanya empat pemain mempunyai pengalaman beraksi di edisi yang lalu dalam acara hoki padang. Untuk pemain-pemain yang lain, mereka mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa seperti di Kejohanan Piala Asia 2022, Piala Dunia Remaja 2022 serta Kejohanan Jemputan China, baru-baru ini,” kata Nasihin.
Mereka telah melakukan persiapan di luar negara dengan menjadikan Kejohanan Jemputan Antarabangsa di Pusat Latihan Hoki Wujin, China sebagai medan persediaan.
Hoki kali terakhir dipertandingkan di Sukan SEA 2017, Kuala Lumpur menyaksikan Malaysia merupakan juara kategori lelaki dan wanita.
Berikut merupakan senarai 18 pemain Skuad Sukan SEA Lelaki Negara.
NO NAMA POSISI
1. Mohamad Rafaizul Mohamad Saini (Penjaga Gol)
2. Mohd Zaimi Mat Deris (Penjaga Gol)
3. Muhammad Faris Harizan (Pertahanan)
4. Perabu Tangaraja (Pertahanan)
5. Azmilmuizzuddin Misron (Pertahanan)
6. Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib (Pertahanan)
7. Andywalfian Jeffrynus (Pertahanan)
8. Muhammad Amirul Hamizan Azahar (Pertahanan)
9. Muhammad Danish Danial Abdul Wahab (Tengah)
10. Alfarico Lance Liau Jr (Tengah)
11. Muhammad Addy Jazmi Jamlus (Tengah)
12. Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar (Tengah)
13. Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (Tengah)
14. Muhammad Najib Abu Hassan (Tengah)
15. Shahmie Irfan Suhaimi (Penyerang)
16. Mohammad Harris Iskandar Osman (Penyerang)
17. Mughni Mohamad Kamal (Penyerang)
18. Muhamad Ramadan Rosli (Penyerang)
Berikut merupakan senarai 18 pemain Skuad Sukan SEA Wanita Negara.
NO NAMA POSISI
1. Siti Zalia Nasir (Penjaga Gol)
2. Mashitah Ab Khalid (Penjaga Gol)
3. Juliani Mohamad Din (Pertahanan)
4. Nuraini Abdul Rashid (Pertahanan)
5. Nurul Faezah Shafiqah Khalim (Pertahanan)
6. Dayang Nuramirah Abang Mahadini (Pertahanan)
7. Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (Pertahanan)
8. Nurul Fatin Fatiah Azman (Pertahanan)
9. Wan Norfaiezah Md Saiuti (Tengah)
10. Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (Tengah)
11. Nur Insyirah Effarizal (Tengah)
12. Nur Syuhada Suhaimi (Tengah)
13. Kirandeep Kaur Gurdip Singh (Tengah)
14. Fatin Shafikah Mahd Sukri (Penyerang)
15. Nuramirah Shakirah Zulkifli (Penyerang)
16. Siti Nur Arfah Mohd Nor (Penyerang)
17. Nur Afiqah Syahzani Azhar (Penyerang)
18. Azmyra Mia Sofea Azhairy (Penyerang)