PHNOM PENH : Malaysia memulakan aksi di gelanggang wushu dengan cukup gah menerusi pingat emas yang diraih ratu wushu negara, Tan Cheong Min.
Cheong Min yang membuat penampilan sulung pada temasya Sukan SEA membawa nama selaku peserta pilihan selepas dia bergelar juara dunia pada kejohanan yang diadakan di Shanghai tahun lalu.
Dan seperti diduga, Cheong Min tampil memukau juri menerusi catatan 9.626 mata dalam acara Nanquan Wanita, membolehkannya merangkul pingat emas pertama Malaysia di gelanggang wushu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar ini.
Pingat perak pula diraih peserta Indonesia, Tasya Ayu Puspa Dewi yang mengumpul 9.593 mata, manakala wakil Myanmar, Aye Thitsar Myint meraih gangsa selepas mengumpul 9.143 mata.
Dengan kejayaan ini, bermakna Cheong Min meneruskan legasi yang ditinggalkan Diana Bong dan Tai Cheau Xuen sejak 2007 hingga 2017 sebelum ia tidak dipertandingkan pada temasya 2019 di Filipina dan 2021 di Hanoi, Vietnam.