PHNOM PENH : Skuad Mobile Legends Bang Bang, MLBB lelaki membuka tirai saingan di pentas Sukan SEA Kemboja 2023 dengan kejutan apabila berjaya mengatasi juara bertahan, Filipina dalam kumpulan A.
Malaysia menyenaraikan barisan terbaik untuk perlawanan pertama ini, menurunkan Danial Fuad atau ‘cikugais’ selaku ‘marksman’, Irwandy Lim atau ‘Izanami’, ‘mage’, Idreen Abdul Jamal atau ‘momo’, ‘exp laner’, Nazhan Mohd Nor ‘chibii’ di bahagian ‘jungler’ dan Zul Hisham Mohd Noor atau ‘xorn’ selaku ‘roamer’.
Bagaimanapun, aksi lebih kemas ditampilkan Filipina di awal permainan, berjaya menekan pasukan Malaysia pada satu ketika.
Filipina turut meraih kelebihan besar selepas turut menumbangkan dua ‘turtles’ dan dua ‘lords’ sebelum Malaysia tampil membuat kebangkitan.
Serangan yang cuba dilakukan Filipina dengan bantuan lord berjaya dipatahkan Malaysia sebelum cikugais tampil dengan serangan balas
Dia yang menggunakan hero ‘claude’ berjaya mendapatkan ‘triple kills’ menyaksikan kesemua hero lawan dapat dijatuhkan.
Dengan bantuan ‘minions’, Malaysia pantas memusnahkan satu demi satu ‘turret’ lawan sebelum mengesahkan kemenangan sebaik kristal pasukan Filipina dihancurkan tanpa sebarang pertahanan.
Kemenangan yang diraih cukup penting buat Malaysia yang akan berdepan dengan tiga pasukan lagi dalam kumpulan A bermula dengan Timor-Leste malam nanti