PHNOM PENH : Skuad hoki dalam dewan wanita negara mengesahkan tempat ke pentas final selepas menumpaskan Indonesia 4-2 dalam perlawanan terakhir mengikut format ‘round robin’ pada Sukan SEA 2023 di sini hari ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan wanita kebangsaan mengiringi skuad lelaki yang terlebih dahulu menempah slot ke perlawanan akhir pada Khamis lepas, sekali gus menghampiri misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.
Pada perlawanan akhir Ahad ini, skuad wanita Malaysia akan berdepan Thailand yang menduduki tempat kedua pada aksi ‘round robin’ tersebut.
Dalam aksi petang ini yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, pasukan wanita negara mendahului Indonesia seawal minit keenam menerusi pukulan penalti Iren Hussin sebelum pasukan lawan menyamakan kedudukan tiga minit kemudian melalui Desi Wardani.
Iren kembali meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-11 dan Nur Atira Mohamad Ismail melebarkan penguasaan pada minit ke-15, sebelum Nuraini Siguarti merapatkan kedudukan buat Indonesia pada minit ke-20.
Iren terus menampilkan aksi bertenaga apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-27 bagi melengkapkan kemenangan skuad negara.
Ketua jurulatih pasukan wanita negara, Mohd Badrul Hisham Osman ternyata berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan berharap momentum itu dapat diteruskan pada perlawanan akhir menentang Thailand, esok.
“Syukur Alhamdulillah. Semua pemain bermain dengan begitu bagus mengikut apa yang dirancang. Kami akan teliti semula permainan hari ini bagi menghadapi perlawanan akhir esok. Segala kesilapan akan diperbetulkan dan merancang taktikal yang kami akan terapkan ketika menentang Thailand pada final.
“Harapan sudah semestinya kami mahukan pingat emas. Kami harapkan semua pemain bermain sehabis baik dan dalam masa yang sama kami mohon doa daripada peminat hoki di tanah air agar kejayaan memihak kepada kami di sini,” katanya.
Sementara itu, skuad hoki lelaki dalam dewan negara turut cemerlang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan ‘round robin’ apabila menumpaskan Indonesia 3-2.
Bagaimanapun, pasukan lawan terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Candra Prawesti pada minit keenam, sebelum Muhammad Firdaus Omar menyamakan kedudukan pada minit ke-13 dan Muhammad Firdaus kembali meletakkan Indonesia selaku pendahulu pada minit ke-30.
Biarpun ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat anak buah Mohd Hanip Che Halim apabila Abdul Khaliq Hamirin dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-35 dan ke-37 untuk memberi kemenangan kepada Malaysia.
Malaysia dan Indonesia yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua, sekali lagi akan turun berentap di pentas final bagi merebut pingat emas, esok.
Mohd Hanip berharap prestasi pemain serta momentum pada setiap perlawanan yang ditunjukan dapat memberi impak yang positif dan menaikkan semangat pemain pada aksi final.
“Dari segi perancangan taktikal, saya berharap pemain lebih fokus dan agresif agar setiap perkara yang dirancang dapat diterjemahkan dengan begitu baik esok,” katanya.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas dalam ‘round robin’ akan berentap untuk merebut pingat emas, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan berkongsi pingat gangsa.
— BERNAMA