PHNOM PENH : Skuad bola tampar lelaki negara yang turun beraksi buat kali pertama hari ini bermula dengan langkah kiri selepas terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Thailand.
Bagaimanapun, bukan laluan mudah diberikan Malaysia kepada Thailand selepas pertarungan sengit disajikan skuad kendalian Shamsaimon Mohd Sharit.
Agak seimbang pada set pertama, Thailand mula raih kelebihan sebelum mencatat kemenangan 25-20.
Skuad negara yang mula tertekan tampil agak longgar pada set kedua apabila sekali lagi melepaskan mata kemenangan 25-17 kepada Thailand.
Tidak mahu mengalah, permainan lebih kemas disajikan Malaysia yang mula mengutip mata demi mata.
Menguasai permainan pada satu ketika, Thailand bagaimanapun kembali bangkit mengikat mata 17-17 sebelum terus memimpin perlawanan.
Dan Thailand kemudiannya mengesahkan kemenangan 3-0 selepas menutup pertarungan set ketiga dengan keputusan 25-20.
Skuad negara bakal turun beraksi sekali lagi esok, dijadualkan menentang Myanmar untuk aksi kedua Malaysia dalam kumpulan B.