Sukan

SUKAN SEA : Sikap tidak menyerah kalah bawa skuad ping pong wanita, lelaki ke perlawanan akhir

Pasukan wanita dan lelaki berpeluang lakar sejarah apabila mara ke perlawanan akhir berpasukan hari ini – FOTO : TTAM / Facebook

PHNOM PENH: Skuad ping pong negara menempa sejarah tersendiri apabila barisan lelaki dan wanita berjaya mengenepikan Vietnam di peringkat separuh akhir berpasukan.

Pasukan wanita yang beraksi terlebih dahulu di Kompleks Sukan Stadium Nasional Morodok Techo menyaksikan Karen Lyne Anak Dick membangkitkan semangat juang apabila menang 11-8, 11-9, 11-7 ke atas Mai Ngoc Tran selepas tewas dua set pertama 10-12, 6-11.

Alice Chang kemudian memastikan Malaysia 2-0 di hadapan hasil kemenangan permainan 4 set ke atas Nguyen Khoa Dieu Khanh 11-8, 8-11, 11-2, 12-10.

Ho Ying membantutkan seketika rentak negara selepas tewas di tangan Nguyen Thi Nga dengan keputusan sengit 11-7, 12-14, 11-7, 10-12, 7-11 yang membolehkan lawan cuba mengejar 1-2.

Karen Lyne tampil selaku wira pasukan apabila mengecewakan Khoa Dieu 8-11, 11-9, 11-9, 11-9, sekaligus membawa Malaysia ke perlawanan akhir selepas 30 tahun lamanya untuk menentang Thailand hari ini.

Bukan itu sahaja, skuad lelaki yang tewas kepada Thailand edisi lalu di Hanoi, berpeluang menebus pingat emas kali ini selepas merakam kemenangan dramatik 3-2 juga ke atas vietnam semalam dan dijadual berentap dengan Singapura petang ini.