PHNOM PENH : Kelibat Shereen Samson Vallabouy mencuri tumpuan di Stadium Nasional Morodok Techo apabila berjaya mengungguli acara 400m wanita akhir.
Dia yang memulakan larian dipetak ketiga cuba dicabar enam peserta lain sejak dari awal.
Namun, melepasi 200 meter pertama, larian pantas ditampilkan Shereen yang mula menjarakkan diri dengan peserta lain.
Dan Shereen tanpa dicabar, gah menamatkan larian untuk meraih pingat emas, memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraihnya dalam acara sama pada temasya 2015 di Singapura.
Dia merakam catatan 52.53 saat untuk pingat emas, mengatasi pemenang emas tiga kali acara 400m ini dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Sementara gangsa menjadi milik seorang lagi peserta Vietnam, Nguyen Thi Hang.