Oleh : Hazreen Mubarak
PHNOM PENH: Semua pelari pecut negara melepas sesi saringan 100 meter (m) lelaki dan wanita yang di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pagi tadi.
Ia menyaksikan dua pelari kategori lelaki iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi terpantas pada dua sesi berbeza.
Khairul Hafiz yang juga juara KL2017 mencatat masa 10.37 saat (s) pada sesi kedua manakala Muhammad Haiqal yang merupakan pemenang pingat emas di Filipina 2019 membuat 10.47s pada sesi pertama.
Skrip sama berulang dalam kategori wanita apabila Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Aisha Rofina Aling turut melepasi pusingan kelayakan masing-masing.
Biarpun menduduki tempat ketiga pada saringan pertama, Zaidatul tetap berjaya layak ke peringkat akhir dengan catatan masa 11.69s.
Manakala Nur Aisha yang turut menamatkan saingan kelayakan di tangga ketiga pada saringan kedua, lolos ke final menerusi rekod 12.04s.
Penentu raja dan ratu pecut Asia Tenggara bakal ditentukan lewat petang ini pada hari terakhir sukan olahraga dipertandingkan di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Dijadual, perlumbaan akhir wanita berlangsung terlebih dahulu jam 7.05 malam waktu Malaysia sementara lelaki pada 7.35 waktu Malaysia.