ANGKOR WAT: Acara basikal lebuh raya membuka tirai hari ini mempertandingkan dua acara iaitu Kriterium lelaki dan wanita.
Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menceriakan skuad lelaki apabila menamatkan perlumbaan sejauh 44.16 kilometer (KM) di tempat kedua.
Pelumba berusia 31 tahun itu meraih perak selepas mengatasi tentangan sengit Ronald Nozuelo Oranza dari Filipina di garisan penamat yang terpaksa akur dengan gangsa.
Emas milik Terry Yudha Kusuma dari Indonesia menerusi catatan sejam 13 minit 38 saat.
Dua lagi kedudukan terbaik wakil negara ialah Akmal Hakim Zakaria di tempat keenam serta Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff ke-13.
Kategori wanita pula menawarkan saingan sejauh 31.28 km.
Diwakili tiga pelumba, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Nur Aisyah Mohamad Zubir dan Yeong Zhen Yi berentap dengan 17 pencabar lain.
Nur Aisyah tampil melakukan henjutan terakhir di penghujung perlumbaan yang memastikannya menaiki podium pingat gangsa.
Jutatip Maneephan dari Thailand menyambar emas menerusi catatan 55 minit 19 saat, manakala Thi That Nguyen dari Vietnam meeraih perak.
Zhen Yi di tangga ke-11, sementara Nur Adibah ke-13 keseluruhan.
Esok dijadual berlangsung acara lebuh raya lepas beramai-ramai lelaki manakala saingan wanita pada Sabtu.