PHNOM PENH: Semangat juang tinggi yang dipamerkan pasukan bola sepak bawah 22 tahun lelaki negara nyata belum memadai untuk menewaskan Vietnam.
Dalam perlawanan ketiga dan penentuan kumpulan B yang berlangsung di Stadium Prince itu, anak buah E. Elavarasan kecundang 1-2 kepada lawan, sekaligus membolehkan Vietnam mengesahkan tempat di dua kedudukan teratas bersama-sama Thailand berbaki satu lagi perlawanan.
Nguyen Van Tung meletakkan pemain negara didalam tekanan menerusi dua gol yang dihasilkan masing-masing pada minit ketujuh dan penalti minit ke-33.
Penyudah Mohd Aiman Afif Md Afizul dua minit sebelum rehat memberi sedikit kelegaan kepada mereka untuk cuba mengejar di babak kedua.
Beberapa peluang yang dicipta gagal dimanfaatkan pemain negara sebaik permainan bersambung.
Pemain gantian Muhammad Safwan Mazlan yang dimasukkan pada minit ke-75 hanya dapat beraksi selama tiga minit sahaja apabila terbabit dengan kekasaran terhadap pemain Vietnam menyebabkannya dilayangkan kad merah oleh pengadil Jepun Jumpei Iida.
Nasib malang skuad negara berterusan apabila giliran Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal terpaksa meninggalkan padang minit ke-82 kerana mengutip kad kuning kedua.
Keadaan beraksi dengan sembilan orang pemain meleburkan hasrat untuk sekurang-kurang mencatat keputusan seri.
Vietnam mengumpul mata kesembilan daripada tiga perlawanan, bersama-sama Thailand sementara Malaysia di kedudukan ketiga dengan tiga mata berbaki satu lagi aksi.
Skuad negara dijangka menentang Singapura Khamis ini dalam pertemuan pelengkap jadual jam lima petang.