PHNOM PENH: Pasangan kembar silat negara, Muhammmad Danial Azray Noorazizan dan Muhammmad Danial Azrol mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas dalam acara silat seni ganda lelaki Sukan SEA Kemboja, sebentar tadi.
Mereka meraih 9.945 mata untuk menewaskan lawan dari Filipina yang juga pasangan adik beradik, Al Faujan Esmael dan Al Mohaidib yang mengumpul 9.885 mata di Dewan E Pusat Konvensyen Chroy Changvar.
“Walaupun ini temasya sulung saya tetapi dengan berkat doa dan rezeki saya dapat mengharumkan nama negara dan berikan emas pertama buat kem silat,” kata Danial Azrol ketika ditemui media tempatan selepas tamat aksi final di sini.
Katanya mereka mengambil masa tiga tahun untuk mahir dalam acara seni menjelang Sukan SEA kali ini selepas mula menceburi silat seawal usia empat tahun.
Sementara itu, Danial Azray berkata beliau tidak pernah terfikir akan menggengam kilauan emas Sukan SEA terutama pada penampilan pertama sejak menceburi silat.
“Saya tak terfikir (menang emas) cuma apa yang saya fikir dari kecil saya nak wakil Malaysia dan banggakan mak dan ayah saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak terutama kedua ibu bapanya yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada mereka berdua.
“Walaupun berada jauh, mereka (ibu bapa) telefon tadi, ucapkan buat yang terbaik dan bacakan surah Yasin untuk kami supaya kami tenang, Alhamdulillah dengan berkat itu kami berjaya,” katanya.
Saingan silat akan bersambung esok yang menyaksikan giliran acara tanding membuka gelanggang.
Pada edisi tahun lalu di Vietnam, Malaysia turut meraih emas dalam acara ganda lelaki menerusi gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga.