ANGKOR WAT : Pelumba negara, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki akhirnya menyumbang pingat emas dalam acara berbasikal lebuh raya individu lelaki di Sukan SEA Kemboja 2023.
Nur Amirul memenangi emas apabila mencatat 3 jam 22 minit 50 saat selepas mengharungi perlumbaan sejauh 150.6 kilometer (km).
Pingat perak diraih pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi manakala wakil dari Filipina, Ronald Oranza membawa pulang gangsa dengan masing-masing turut mencatatkan 3 jam 22 minit 50 saat seperti Nur Amirul namun pemenang ditentukan menerusi ‘photo finish’.
Semalam, Nur Amirul meraih perak dalam acara berbasikal lebuh raya kriterium lelaki.
Mengikut rekod, Sukan SEA di Vietnam menyaksikan pelumba negara, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff meraih emas acara berbasikal lebuh raya lelaki dan pada edisi kali ini Malaysia mengekalkan pingat terbabit menerusi Nur Amirul.